Friday, January 23, 2009

SEMANGAT UMNO DAHULU BHG.2


Begitulah semangat UMNO dahulu. Pemimpin berbangga apabila dapat mekakukan sesuatu untuk kampung. Mungkin ketika itu masih banyak pembangunan yang perlu dilakukan di kampung-kampung. Mungkin pula ketika ini pemimpin yang terpilih merasakan bahawa sudah tidak lagi pembangunan asas yang boleh dilakukan kerana boleh dikatakan bahawa segala keperluan asa pembangunan telahpun dibangunkan ketika ini. Tetapi jika pemimpin yang terpilih diperingkat cawangan itu adalah dari kalangan mereka yang berwawasan dan kreatif, maka mereka masih dapat membangunkan kampung mereka dengan membangunkan dan membina sesuatu yang berasaskan teknologi terkini.

Apa yang jelasnya adalah sudah tidak ada lagi keceriaan apabila menyertai UMNO sekarang berbanding waktu dahulu. Ketika itu di kampung-kampung atau cawangan-cawangan UMNO bersaing antara satu sama lain untuk menganjurkan sesuatu aktiviti. Sukan umpamanya, bolasepak dan bola jaring adakan dianjurkan yang akan melibatkan beberapa buah kampung. Ini mampu merapatkan sirtulrahim antara masyarakat. Aktiviti bercorak agama juga dianjurkan bagi mempertingkatkan pengetahuan dalam bidang agama. Oleh itu remaja terutamanya merasa mereka berharga dan dihargai dan berpeluang terlibat dalam aktiviti bercorak kemasyarakatan. Oleh itu kita dapat melihat segala ruang terisi dan tidak memberikan peluang dan ruang kepada sebarang tohmahan terhadap pemencilan masyarakat oleh parti dan kepimpinan.

Apakah pengisian yang dilakukan oleh remaja masa kini? Jika tiada lagi pemimpin kampung yang membantu mereka menganjurkan aktiviti-aktiviti berfaedah untuk mengisi masa luang mereka maka mereka akan jadi hilang arah dan mungkin melakukan perkara yang tidak mendatangkan faedah bahkan memudaratkan diri sendiri dan masyarakat. Justru, sesuai dengan pembangunan dan kemodenan kehidupan kita masa kini, maka mungkin disetiap kampung diadakan pusat pembelajaran dan pengunaan internet secara yang berfaedah. Cadangan ini boleh diperhalusi lagi kemudian nanti memandangkan IT adalah perkara yang patut dipelajari samaada kita tinggal dibandar atau diluar bandar dan sudah tentu masyarakat luar-bandar yang mampu memanafaatkannya akan merasa bangga dengan pencapaiannya dan tidak berasa terpinggir dari arus kemodenan. Cadangan mengwujudkan pusat maklumat dikampung-kampung harus difikirkan oleh semua pihak. Saya harap Dato' Sharkar juga mengambil perhatian terhadap cadangan ini selaku ketua penerangan UMNO Pahang.

Kerajaan melalui pemimpin-pemimpin yang berjawatan menteri, ketua-ketua UMNO bahagian dan ketua-ketua UMNO peringkat cawangan harus bertindak dan melakukan sesuatu untuk mengembalikabn kepercayaan masyarakat kampung bahawa UMNO lah parti yang mampu memperjuangkan dan membangunkan bangsa melayu.

Monday, January 19, 2009

SEMANGAT UMNO DAHULU


Bendera UMNO - Parti Keramat Melayu


Aku nak menceritakan tentang UMNO dahulu dan penglibatanku dengan parti keramat melayu ini untuk perbandingan dan melihat perbezaan diantara dahulu dan sekarang.

Aku tak tahu banyak apa dan bagaimana UMNO itu sebelum aku terlibat melainkan melalui sedikit pembacaan dari suarat khabar dan buku-buku. Aku lahir tahun merdeka. Mengenali persatuan dan pertubuhan pada usia 20an - sekitar tahun 70an. Jadi penceritaan ini berkisar dari tahun 1970an.

Mungkin kerana di kampongku (Kita namakan Kg. KT) akulah yang paling berwibawa agaknya maka pada suatu ketika aku didatang oleh seorang orang dari bandar yang terlibat dengan persatuan dan pertubuhan yang juga pemimpinnya. (Beliau pada ketika itu adalah Pengerusi Gerakan Belia 4B(M) Negeri merangkap Timbalan Ketua UMNO Bahagian. Beliau kemudiannya menjadi ADUN dikawasan ku dan kini dianugerahkan Dato' 0 kita namakan belaiu Dato' B) Aku diminta untuk menubuhkan dan menjadi Pengerusi Gerakan Belia 4B(M) Cawangan di kampong ku. Maka jadilah aku Pengerusi dan memimpin ahli-ahli yang anak-anak muda-mudi di kampongku. Semuanya berjalan baik dan berbagai aktiviti dijalankan. Kami sungguh gembira dan berpuas hati dengan perjalanan persatuan.

Kemudiannya aku didatangi lagi oleh Dato' B dan kali ini meminta aku menubuhkan Pergerakan Pemuda UMNO Cawangan. Kami menubuhkannya dan aku menjadi Ketuanya. Pada ketika itu, abangku adalah Ketua UMNO Cawangan. Ketika itu aku merasa sangat diperlukan dan dihargai oleh orang-orang kampong. Setiap apa mengenai kampong mereka akan datang dan memberitahu aku mengenainya. Aku jugalah yang akan membuat surat ke pejabat-pejabat kerajaan atau menemui pegawai-pegawai kerajaan berkenaan apapun yang orang kampong suarakan. Itulah khidmatku untuk kampongku dan warganya. Ketika itu juga aku adalah salah seorang ahli JKKK atas kapasiti Pengerusi Belia dan Ketua Pergerakan Pemuda.

Setelah beberapa lamanya (5-6 tahun) aku memutuskan bahawa aku akan melawan abangku sendiri untuk jawatan Ketua UMNO Cawangan. Hasrat ini diketahui ramai termasuk abangku sendiri dan aku dinasihati oleh Dato' B supaya jangan berbuat demikian. Banyak pihak menanya apakah alasanku? - jawapannya hanyalah untuk menguji diri sendiri. Atas nasihat ramai maka aku batalkan.

Apabila berlaku krisis dalam UMNO dimana UMNO telah diharamkan oleh mahkamah dan UMNO (Baru) ditubuhkan diserata cawangan dahulu, maka aku melihat peluang aku untuk menguji diri itu ada. Lalu aku memutuskan untuk berpindah cawangan dengan menjadi ahli di cawangan kampong isteriku.

Ketika itu ketua UMNO Cawangan lama di kampong isteriku ( Kita namakan kg. LK - juga menjadi kampongku ketika ini) tidak berminat untuk menubuhkan semula UMNO. Lalu kesempatan ini aku ambil dengan mengumpulkan pemuda-pemudi di kampong LK dan mewujudkan jentera untuk mendaftar keahlian. Semuanya berjalan lancar. Maka UMNO Cawangan Kg. LK pun ditubuhkan dan akulah menjadi Ketuanya. Pada ketika itu juga aku adalah Ahli Jawatankuasa Gerakan Belia 4B(M) Kawasan dan Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian.

Sudah tentu akan ada 2 kumpulan di peringkat bahagian dan sudah tentunya aku akan memihak kepada kumpulan yang dipimpin oleh Dato' B kerana dialah yang melahirkan dan membentukku dalam pertubuhan.

Aku masih ingat, banyak juga sumbangan yang aku lakukan di Kg. LK ini termasuk mendapatkan bekalan air untuk rumah-rumah yang masih belum mendapat bekalan. Selain itu mendapatkan bekalan letrik dan memohon jambatan serta keperluan asas lainnya termasuk keperluan disurau dan balai raya. Aku masih ingat, surat permohonan bekalan air yang ku berikan sendiri kepada Menteri Besar sewaktu MB melawat kampong berhampiran dengan kampong LK. Beberapa lama kemudian riuhlah dikampongku mengenai surat dari pejabat MB yang diterima dan dialamatkan kepadaku. Aku membuka surat itu dan memaklumkan kepada orang-orang kampong isi kandungannya dan mereka sungguh gembira dengan berita itu.

.... bersambung

Sunday, January 18, 2009

MENGEMBALIKAN ROH PERJUANGAN UMNO YANG HILANG

Semangat UMNO dari rakyat marhaen


Ahli UMNO dulu menggadai hartabenda demi perjuangan,
Pemimpin elit kini mengambil hak rakyat atas nama perjuangan


Keringat dan bau lumpur menjiwai perjuangan
pemimpin kini jijik menjejakkan kaki ke tanah berlumpur


Kemerdekaan yang semakin hampir didapati,
namun kini disia-siakan oleh anak bangsa sendiri



TDM menangisi nasib bangsa yang mudah lupa


Salam,

Memang mudah menyalahkan seseorang. Dimana kita ketika semua itu berlaku? Kalaupun kita sudah lahir bukanlah kita dikalangan mereka pembuat keputusan itu.

Masa lalu itu tidak akan berulang lagi. Persoalan sekarang, bagaimana kita mesti menangani keadaan dan cabaran yang akan kita hadapi? Bagaimana kita perlu perkuatkan negarabangsa kita agar tidak mudah tunduk kepada ancaman luar ataupun dalaman. Dan apakah peranan yang dapat kita mainkan bagi melaksanakan tujuan itu? Kuatkah kita? Kukuhkah perpaduan kita? Teguhkah ekonomi kita?

Perkuatkan dan perkukuhkan bangsa kita dahulu kerana itu lebih perlu sebelum mampu berhadapan dengan musuh. Soalan - kenapa Singapura boleh? Jawapannya adalah; Singapura juga gunakan pemerintahan kukubesi pada keadaan tertentu, kerana keterbukaan demokrasi yang keterlaluan mampu menguggat dan membantutkan momentum kemajuan. Masa akan banyak dihabiskan bagi menangani masalah tidak puashati yang diterjemahkan melalui demonstrasi dan protes.

Lihat apa yang dipanggil keterbukan dibeberapa negara - Thailand contohnya. Kemajuan akan terencat jika begitu banyak masa dihabiskan semata-mata hanya melayan apa yang dipanggil kebebasan dan demokrasi. Ramai berpendapat Tun Dr. Mahathir terlalu keras tetapi tolakansur berlebihan sepertri sekarang ini akan dilihat sebagai kelemahan dan akan diambil kesempatan oleh kawan dan lawan lalu kesetabilan tidak dapat dikekalkan. Adalah mustahil memuaskanhati semua pihak. Asalkan natijahnya adalah tahap capaian kemajuan bagi manafaat majoriti, maka itulah ukuran kejayaannya.

Kita masih stabil ketika ini, namun masa depan kelihatan suram jika kesepakatan melayu-teras rakyat Negara tidak dapat diperkukuhkan. Justeru, kita harus kembali kepangkal jalan. Dapatkan kembali roh perjuangan UMNO itu. Jadikannya suara rakyat masyarakat marhaen semula dan bukan hanya untuk golongan elit seperti sekarang ini. Semangat UMNO bermula dari semangat orang-orang kampong bagi membebaskan bangsa dari penjajah. Meminggirkan orang-orang kampong dan menjadikan UMNO milik golongan elit akan mamatikan semangat perjuangan dan roh UMNO itu sendiri.

Persepsi terhadap UMNO semakin salah ketika ini dan ini membuatkan UMNO tidak dapat diterima oleh akar umbi. Kita harus tanganinya dengan berhemah kerana jiwa orang-orang kampong telah kecewa dan terluka.

Satu peringatan untuk semua pihak yang sayangkan atau pura-pura sayangkan UMNO - 'Politik UMNO bukanlah satu perniagaan'.